Friday, August 2, 2013

Empangan Batang Ai Penjana Pembangunan Lubok Antu



Lubok Antu di Bahagian Sri Aman, terletak kira-kira 270 kilometer dari Bandaraya Kuching, namun masih ramai penduduk Sarawak menganggap daerah itu sebagai asing kerana tidak pernah mengunjunginya. Sebut saja Lubok Antu masyarakat tempatan di sini, terutamanya yang belum pernah berkunjung ke daerah Lubok Antu, akan membayangkan ia adalah sebuah pekan terpencil yang masih serba mundur, malah ada sesetengahnya menggambarkan tempat itu berpuaka. Memang, kalau menurut cerita orang tua-tua kononnya sebuah lubuk di Batang Ai dalam daerah itu dihuni oleh hantu pada zaman dahulu kala, ini terbukti dengan satu kesan tetakan pada batu ditebing sebuah lubuk di situ yang tidak mungkin dapat dilakukan oleh manusia.

Menurut cerita, batu berkenaan telah ditetak oleh Bungai Nuing, orang dari Panggau Libau (yang mana dalam kepercayaan masyarakat Iban bermaksud seorang dewa dari kayangan). Itu dulu, tetapi kini Lubok Antu dan masyarakatnya telah jauh berubah, melangkah seiring dengan pembangunan pesat negeri ini keseluruhannya. Pekannya kini lebih moden dan cantik, ada kemudahan telefon, jalinan jalanraya yang baik dan apatah lagi bekalan elektrik pastinya ada.

Pembinaan Empangan Hidroelektrik Batang Ai, di Lubok Antu, terbukti bukan sekadar menjana elektrik, malah menjadi penjana ‘kuasa ekonomi’ penduduk di kawasan sekitarnya, walaupun terletak kira-kira 270 km dari bandaraya Kuching. Air yang ditakung di empangan itu memberikan 1,001 peluang pekerjaan kepada penduduk yang kebanyakan tinggal di rumah panjang, sekaligus memberi kuasa ekonomi baru kepada mereka untuk memulakan kehidupan yang lebih baik.

Biarpun sebahagian daripada penduduknya adalah ‘mangsa’ kepada projek berkenaan kerana terpaksa dipindahkan. Empangan yang dibina dengan kos RM600 juta bermula pada Oktober 1984 dan beroperasi September 1985, berupaya menjana 108 megawatt tenaga elektrik yang disalurkan ke dalam sistem grid dan dibekalkan, termasuk ke Kuching dan Bintulu. Pelaksanaan projek itu satu ketika dulu memaksa kira-kira 3,000 penduduk di Batang Ai ‘mengorbankan’ kehidupan mereka, berikutan tanah, rumah dan tanaman yang diusahakan ditenggelami air.
Pemandangan indah Empangan Batang AiTernakan ikan dalam sangkar di Lubok Kaong, Empangan Batang Ai


Namun pengorbanan mereka kini sudah berbayar, bukan wang pampasannya tetapi lebih penting iaitu arus pembangunan telah berjaya dibawa kepada mereka dengan lebih cepat supaya mereka tidak ketinggalan. Pekan Lubok Antu yang menjadi pusat ekonomi kawasan ini, kini berkembang pesat. Dulu pekan ini cuma ada sederet kedai kayu usang dengan lapan kedai saja, kini berubah wajah dengan kedai konkrit yang tersergam indah, di samping bangunan pasar menjual hasil hutan dan kemudahan asas lain. Terbinanya empangan itu juga membolehkan masyarakat setempat menikmati kemudahan jalan raya yang sempurna dan bukan lagi jalan berbatu, tetapi jalan berturap yang sekaligus membantu meningkat tahap sosio ekonomi mereka. Ini kerana melalui kemudahan itu, penduduknya bukan saja mampu memasarkan hasil ikan ke seluruh Sarawak, malah sampai ke Semenanjung Malaysia berikutan langkah kerajaan negeri menjadikan kawasan itu sebagai lokasi pemeliharaan ikan dalam sangkar secara komersil.

Sebelum ini, hasil tangkapan ikan tidak memberi pendapatan lumayan kerana mereka hanya berniaga sesama sendiri, berikutan tiada kemudahan untuk membawa hasil berkenaan keluar ke daerah lain yang berdekatan. Namun dengan adanya kemudahan infrastruktur seperti sekarang maka industri ternakan ikan dalam sangkar di kawasan Empangan Hidro Elektrik Batang Ai, di sini telah berkembang dengan baik sekali. Sejak dilaksanakan pada 1993, industri ternakan ikan dalam sangkar di kawasan berkenaan telah mencatatkan pertumbuhan yang membanggakan, dengan kadar pengeluaran melebihi 350 tan metrik serta nilai lebih RM1 juta sehingga kini. Industri ini menjadi kegiatan ekonomi utama kawasan berkenaan yang membabitkan lebih 300 keluarga daripada beberapa rumah panjang di sekitar tasik berkenaan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri merancang untuk terus mengembangkan industri berkenaan dengan membina lebih banyak sangkar bagi memelihara ikan untuk diusahakan oleh penduduk berkenaan. Berikutan prestasi yang memberangsangkan setelah ia diusahakan mulai 1993, jelas bahawa Batang Ai sebenarnya memang berpotensi untuk menjadi kawasan pengeluaran utama ikan air tawar yang diternak dalam sangkar di negeri ini. Justeru, pihak kerajaan negeri melalui agensinya yang berkaitan seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan Darat serta Pertubuhan Peladang akan berusaha mempelbagaikan jenis ikan yang ternak. Ini termasuk usaha untuk menternak ikan tempatan yang kini semakin pupus dari sungai-sungai di negeri ini, seperti ikan Tenggadak, Sayan dan Semah untuk diternak dalam sangkar di tasik ini. Sebelum ini ternakan ikan dalam sangkar hanya bertumpu kepada ikan Talapia Merah dan Patin sahaja.
Pasar Lubok Antu bukan sahaja menyediakan barang keperluan bagi penduduk setempat tetapi juga
barangan kraf bagi pengunjung yang datang
Pemandangan di Tebingan Batang Ai di hadapan deretan pasar Lubok Antu


Berikutan kecergasan pelbagai kegiatan ekonomi, maka kuasa ekonomi penduduk di sini meningkat secara mendadak, berikutan pelbagai aktiviti ekonomi yang dapat digerakkan berkat adanya empangan berkenaan. Ini membuktikan apa yang pernah dikatakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Alfred Jabu anak Numpang satu ketika dulu, yang meramalkan Batang Ai (Lubok Antu) akan menjadi satu kawasan pertumbuhan ekonomi utama di negeri ini. Ini selari dengan usaha kerajaan yang merancang membangunkan kawasan ini menjadi destinasi pelancongan utama, selain menjadikan pusat pengeluaran ikan air tawar yang utama di negeri ini.

Kawasan ini yang dulunya mundur berikutan kurangnya kemudahan asas, khususnya jalan raya dan kini bukan sahaja jalan raya malah pelbagai kemudahan asas yang lain dan ini telah mampu menjana kegiatan ekonomi yang cergas di sini. Malah, kemajuan yang dikecapi oleh masyarakat dan kawasan itu, pekan Lubok Antu kini bukan sekadar menjadi tumpuan masyarakat tempatan, malah penduduk dari negara jiran. Lokasi pekan Lubok Antu yang terletak beberapa kilometer saja dari sempadan negara jiran, Indonesia, menjadikan pekan kecil itu tempat tumpuan warga negara jiran mendapatkan bekalan makanan, pakaian dan menjalankan perniagaan.Melalui pertumbuhan ekonomi yang pesat, perniagaan di sini kini bertambah maju, kerana penduduk mempunyai wang untuk berbelanja hasil daripada tangkapan ikan mereka atau kegiatan membawa pelancong melawat tempat menarik di sekitar kawasan tasik.
 
 

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home